~ Hiasi diri ~



Indahnya akhlak Kekasihku, bila Allah yang mentarbiyyah Baginda, bila Al-Quran menjadi acuannya..

Di antara ciri-ciri akhlak yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya dia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlak-akhlak yang berikut:


Pertamanya seorang muslim perlulah warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat, dengan kata lainnya, menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan ajaran dari hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara' adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda: Yang bermaksud:

Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk di dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah dia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan.
(Hadith riwayat Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Hakim
dan Tirmizi berkata: Hadith ini Hassan)


Kemudian, memelihara penglihatan.


Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang-
orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah. Allah s.w.t berfirman,

Yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).
(An-Nur : 30)

Rasulullah s.a.w pula bersabda:


Yang bermaksud: Pandangan itu ada satu penahanan dari penahanan iblis.

(Hadith riwayat Al-Hakim dan At-Tabrani)

Baginda juga mengingatkan:


Yang bermaksud:

Kamu hendaklah memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu maka Allah akan memburukkan muka kamu.
(Hadis riwayat Tabrani)


ketiganya, Memelihara Lidah:

Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:

Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang. Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas yang empunya diri,
Sabda baginda yang bermaksud:

Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya.
(Hadis Riwayat Tirmizi)


Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda:


Yang bermaksud:

Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji.
(Hadis riwayat Tirmizi)


Sabda Baginda lagi yang bermaksud:


Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)


Keempat usaha tiru sifat Pemalu Rasulullah:


Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya.

Diceritakan daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman.
(Hadis riwayat Baihaqi)

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan: Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

Kelima adalah dengan bersifat lemah-lembut dan sabar.


Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah tugas dan tanggungjawab seseorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya.


Da'ie akan menyampaikan dakwahnya kepada orang-orang jahil dan orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersinggung.
Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemahlembut. Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan mengarahkan agar seseorang da'ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.

Keenam, Bersifat Benar dan Jujur.

Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan.

Seseorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti dia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu-daya syaitan.

Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa besih, mulia dan terhindar dari tipu-daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakitpenyakit yang laknat.
Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud: Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta".

(Muttafaqun Alaih)

Ketujuh, Bersifat Rendah Diri..Tawaduk.


Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri memohon
perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri).

Baginda bersabda:


Yang bermaksud:

“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam
hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbut.”
(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam Hadis Qudsi pula Allah berfirman:

Yang bermaksud:

Kemuliaan itu ialah pakaian-Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang-Ku. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya".
(Hadis Qudsi riwayat Muslim)


Seterusnya,

kelapan, jaga hati!

Jauhi sangka buruk dan mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seseorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah, yang bermaksud:


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.


(Al-Hujuraat : 12)
Allah berfirman lagi, yang bermaksud:

Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.
(Al-Ahzaab : 58)

Dan Rasulullah s.a.w bersabda:


Yang bermaksud:

Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun dia berada di dalam rumahnya. (Hadis riwayat Abu Daud)


Tiru sifat pemurah Rasulullah..


Yang kesembilan..

Ialah seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.
Antara maksudnya:

Dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
(Al-Anfaal : 3)

Allah berfirman yang bermaksud:

Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurang.
(Al-Baqarah : 272)

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pengajaran dari pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dia Malaikat lalu salah satu darinya berdoa:

"Ya Allah! Berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya".

Manakala Malaikat yang kedua pula berdoa:

Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini".
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Usahakan untuk menjadi Qudwah Hasanah (Suri Teladan Yang Baik) Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai.

Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

(Kitab-kitab yang membicarakan secara khusus mengenai tajuk ini yang dapat dijadikan sebagai renungan oleh para pembaca diantaranya ialah Kitab Riadhus Salihin karangan Imam Nawawi, Kitab Khuluqul Muslim (Akhlak Seorang Muslim) karangan Muhammad Al- Ghazali, Ihya' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dan Hayat As-Sahabah karangan Al-Kandahlawi).[1]

**Ayuh kita ikuti jejak Rasulullah,
suburkan cinta padaNya dengan mengamalkan sunnah Baginda Rasulullah s.a.w.



[1] Fathi Yakan: Maza Yakni Intimaei Lil Islam_Apa Ertinya Saya Menganut Islam

Solat

Ya, Alasan Anda Boleh Diterima.
Dalam buku Wahyul Qalam, Ar-Rafi’ mengatakan, “Dengan melarikan diri dan memfokuskan niat ke arah solat, seorang muslim akan merasakan dirinya seakan melintasi batas – batas kebumian – baik masa mahupun ruang – untuk kemudiannya keluar menuju alam rohani di mana tiada yang difikirkan selain Allah azzawajalla. Inilah saat – saat istimewa setiap hari dalam kehidupan di mana dia lepas dari urusan – urusan dunia, tatkala dia menghimpun segala syahwat dan keinginan, lalu mengekangnya dari masa ke masa dengan gerakan – gerakan solat.Dia juga mengoyak kefanaan jiwa sebanyak lima kali sehari, sehingga dia dapat melihat hakikat keabadian. Jiwanya pun terasa tumbuh dan mengembang. Itulah solat yang lima, solat yang juga merupakan saat di mana hati terbebas dari isi – isi dunia. Tiada yang lebih indah dan lebih tepat dari sabda Rasulullah s.a.w.
yang bermaksud,
“Pusat kebahagianku dijadikan terletak dalam solat.” (HR Muslim)
Beginilah pandangan dan kepekaan seorang muslim mengenai solat. Apakah anda juga memiliki kepekaan sedemikian?
Betapa peri pentingnya solat telah jelas bagi anda. Meskipun begitu, anda belum juga merasakan makna – makna yang mendalam ini, dan anda pun tetap menganggap solat sebagai sesuatu yang berat. Anda memang layak mengalami hal tersebut, dan alasan anda sememangnya boleh diterima. Allah berfiman (bermaksud),
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan
sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang – orang yang
khusyu’.” (Al – Baqarah:45)
Ya, anda belum melaksanakan solat secara khusyu’, sehingga solat pun teasa berat, sulit dan menjadi beban.

Oleh itu, khusyu’ menjadi tema utama dalam permasalahan solat. Tanpa khusyu’, anda akan merasakan solat sebagai beban berat yang tidak berpengaruh, dan hanya merupakan gerakan – gerakan mekanik sahaja.
Marilah saudaraku yang tercinta! Siapkan hati dan jiwamu dengan sungguh – sungguh, sebab tema ini teramat penting!
Engkau Belum Mengenal Tuhanmu!

Nilai dan jiwa sesebuah solat terletak dalam kekhusyu’kan. Tetapi tahukah anda, apakah erti solat itu yang sebenarnya? Solat adalah mengadap Allah azzawajalla. Sebaik saja anda mengatakan “Allahu Akhbar”, Allah akan menyambut dan memperhatikan anda. Pernahkah anda memikirkan hal itu sebelum ini? Pernahkah anda melaksanakan solat dengan penuh perasaan dan kepekaan ini?

Saudaraku, nilai solat terletak pada peranannya sebagai cara utama untuk mengenal Allah azzawajalla. Solat diwajibkan agar kita mengenal Sang Pencipta. Tanpa solat, kita tidak akan mengenal Allah secara benar. Maka, jika anda ingin mengenal Allah, laksanakanlah solat, dan berusahalah untuk melaksanakannya sekhuyu’ mungkin, sebab inilah faktor utama dalam perkara ini.

Nilai solat terletak pada peranannya sebagai pintu masuk untuk mengenal tuhan. Kerananya, engkau belum mengenal tuhanmu, wahai orang yang meninggalkan solat!

Meninggalkan solat, tidak begitu saya risaukan, kerana saya yakin anda termasuk yang melaksanakan solat. Akan tetapi perlu diketahui, sekadar melaksanakan solat tidaklah cukup. Tanpa rasa khusyu’, anda tidak akan berhasil mengenal tuhan. Padahal tahukah anda, mengenal tuhan adalah matlamat dan tujuan kehidupan?!

Mengapa kita diciptakan?
Ramai orang yang tidak mampu menjawab pertanyaan ini. Padahal, bagi seorang muslim, jawapannya begitu mudah. Jawapannya ada bersama firman Allah azzawajalla (bermaksud);
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya
mereka menyembah-Ku.” (Adz- Dzariyat: 56)
Inilah kenyataan yang diketahui oleh setiap muslim yang betul – betul memahami hakikat keberadaannya di dunia. Allah azzawajalla tidak menciptakan kita hanya untuk makan, minum, menikah, dan meninggal semata- mata. Namun, Dia menciptakan kita agar kita mengenal dan beribadah kepada-Nya. Kehidupan dunia tidak bererti tanpa perlaksanaan tujuan utama ini. Sungguh kasihan orang yang menyangka kehidupan dunia adalah semata – mata mainan, kesenangan, dan hanya untuk kepuasan syahwat!
Gerbang pertama kita supaya boleh memasuki ruang kekhusyu’kan dalam solat adalah memahami dengan benar, ‘mengapa kita diciptakan’.

Hakikat Dunia

Nabi s.a.w. pernah bersabda;
(bermaksud)
“Sesungguhnya perumpamaan dunia dan diriku adalah seperti
seorang yang beristirehat sejenak dibawah sepohon pokok pada siang yang amat
panas, kemudian ia pergi dan meninggalkannya.” (HR Ahmad)
Beliau juga bersabda;
(bermaksud)
“Dunia itu terlaknat, dan terlaknat pula segala yang ada di
dalamnya, kecuali dzikrullah (menyebut dan mengingati Allah) serta hal – hal
yang mendukungnya, seorang alim (tahu dan berilmu), atau seorang yang belajar
(menuntut ilmu).” (HR Ibnu Majah dan At – Tarmizi)
Juga bersadba,
(bermaksud)
“Apakah erti dunia bagiku? Apakah ertinya dunia dan
hartaku?” (HR Ad –Darimi)
Beliau juga bersabda,
(bermaksud)
“Setiap manusia berangkat dipagi hari untukmenjual dirinya.
Maka terserah ia hendak membebaskan ataukah menahannya.” (HR Muslim, At –
Tarmizi, Ibnu Majah, dan Imam Ahmad)
Bahkan beliau pun bersabda juga,
(bermaksud)
“Kalaulah dunia di sisi Allah senilai dengan sayap nyamuk,
pastilah Dia tidak akan pernah memberi minum seorang kafir walau setitis pun.”
(HR Ibnu Majah)
Subhanllah! Beginikah hakikat dunia yang ada dalam hati kita? Ingat – ingatlah, saudaraku, kita di dunia ini semata menyembah Tuhan kita.
Dalam menggambarkan dunia, seorang ulama’ soleh mengatakan, “Dunia itu ibarat sepatu.” Orang ramai pun kehairanan, tapi sang ulama ini tetap berkeras dan mengatakan, “Ya, dunia layaknya sepasang sepatu. Meskipun kita tidak begitu memerlukan sepatu, kita tentu tidak boleh berjalan tanpa alas kaki. Begitu juga dunia, kita tidak begitu memerlukannya. Namun pernahkan anda mendengar rasa cinta yang terjalin antara seseorang dengan sepatunya?”

(dipetik daripada Ibadah Sepenuh Hati;Amru Khalid, dalam bab Solat)
Written by admin Tuesday, 18 March 2008 09:37
http://dakwah.info/main/index.php/content-category-mainmenu-2/32-artikel-tarbiyyah/165-solat

~Wuduk Pembersih Zahir Batin~

sumber: Harian Metro 17 Mac 2009


SEMUA orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai, asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik.


Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik.Apabila hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana yang penting cantik.


Kadangkala kesian juga pada mereka yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik. Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga. Kenapa?Sebabnya ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty).Kecantikan dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang bercahaya berpaksi dari hati.


Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat.Antara tip muka bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku kelak akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih cemerlang kerana kesan daripada air wuduk." Ini satu jaminan kecantikan yang abadi.


'Inner beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk.Air wuduk bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan.


Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan.Cuba lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti juga puasa orang tidak tahu.Boleh saja kalau yang berwuduk itu hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas sahaja. Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya.


Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan mekap wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan.Sebenarnya boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang jujur akan terpancar pada wajahnaya cahaya keikhlasan.Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama malaikat. Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan berada di tempat kotor.Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong melakukan kebaikan.Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan. Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya.


Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan.Kalau harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.

~Kalendar Falak OnLine~


Kalendar FALAK-ONLINE telah dilancarkan hari ini. Sila Bookmark link


Kalendar ini bertujuan untuk memberi maklumat ringkas perihal kejadian-kejadian langit yang akan berlaku, bagi membolehkan kita membuat persediaan secukupnya. Kalendar FALAK-ONLINE ini juga boleh bukan terhadap kepada fenomena langit. Aktiviti-aktiviti astronomi juga boleh dimuatkan di sini. Mudah-mudahan utiliti baru ini akan dapat memberi manfaat buat semua, InsyaAllah.

.:Sila kunjungi laman http://www.falak-online.net :.

.::PeSaN aTuK KaWe::.


1.Kata Dari Atuk Aku... Kata Orang... enjoy sementara muda, hidup panjang lagi, dah tua nanti tobatlah. Kata Atuk... orang muda hidup memang baru bermula, tapi belum tentu masih panjang lagi, entah esok lusa Izrail datang menjemput. Aku Rasa.. betul jugak tu.. Kata Orang.. exams tu susah, kena banyak sacrifice, constant study..past year papers..etc..etc..etc.. Kata Atuk... exams tu senang aje, dah ada tarikh untuk diuji, dah ada syllabus untuk diikut,kalau ajal.. entah bila siapapun tak tahu, byk pula tu peringkat ujiannya, Munkar Nankir, Neraca Mizan, tayangan slide.. Aku Rasa... betul jugak tu.. Kata Orang... have fun on your birthday,panggil kekawan and sedara mara, berpartylah sepanjang malam, make it a memorable one!! Kata Atuk.. setiap hari jadi, kita semakin hampir, hampir setahun dengan kematian, setahun lagi diberi peluang utk beramal, bertaubat.. Aku rasa.. betul jugak tu.. Kata Orang.. kerja mesti sungguh-sungguh, beli rumah besar, kereta mewah, makan lazat.. baru hati puas! Kata Atuk.. ye ke hati dah puas?? dah cukup ibadah nak tempah kubur luas-luas? dah siap kenderaan meluncur Siratul Mustaqim? dah cukup zikir untuk santapan rohani? dah cukup amal nak 'book' tempat Al-Firdaus? Aku Rasa... betul jugak tu.. Kata Orang... successful people have a good time management, ada bisnes di kl, new york, tokyo.. masih sempat berkempen utk pilihanraya, masih sempat melepas lelah di disko dan karaoke, masih sempat pasang perempuan 2-3, baru orang boleh respect! Kata Atuk... setiap manusia dapat 24 jam dlm sehari, tapi.. ada masa ke utk sujud di sejadah 5 kali sehari semalam? ada masa ke nak selak Al- Quran sekali seminggu? ada masa ke nak jenguk ibu ayah di kampung, sekali dalam seminggu, atau sebulan, atau setahun? Aku Rasa.. err..betul jugak tu..
~ Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan... ~ 2. Ini Mak Aku Kata Lak... Kata orang.. masa muda hanya sekali , jangan di persiakan.. masa untuk enjoy , masa untuk mengetahui dan mencuba semua benda agar bila tua nanti tak menyesal... Mak pula kata , masa muda masa untuk beramal dengan ilmu , beribadat , masa tenaga masih kuat , masa kudrat masih larat. Masa cari ilmu bina ketakwaan jaga keimanan...dan mak pesan jangan buat jahat sebab putik yang masih muda pun boleh gugur maka bersiap sedia mengingati mati... Aku pula kata...ehmmm betul juga kata mak. Kata orang... ilmu tu penting untuk orang pandang tinggi pada kita , untuk hidup senang , untuk beli apa yang di idamkan , beli rumah besar , kereta mewah...barulah orang pandang tinggi bolehlah kita megah atas apa yang kita miliki... Tapi mak kata... "ilmu tu pembuka segala amal", makin berilmu makin tunduk pada kekuasaan Allah, makin mengakui dan mengkagumi keEsaan Tuhan. Dengan ilmu juga kita berusaha untuk perbaiki diri.... dan mak selalu pesan ilmu kena diamalkan sebabnya Allah benci pada orang yang berilmu tapi tak mengamalkanya. Aku pula kata... "betul juga kata mak nie.... eh bukan betul jer tapi memang betul." Orang kata... kita kena pandai cari dan ambil peluang , kesempatan yang ada jangan dilepaskan , kena cepat.. nanti ketinggalah, jangan fikirkan orang lain yang penting diri kita kena di utamakan... Tapi mak kata... jangan bina kejayaan atas keruntuhan orang lain, jangan jatuhkan orang , rezeki di tangan tuhan ,kalau ada dapat kalau di takdirkan tak ada , usaha macam mana pun tak akan dapat. Mak pesan lagi jangan makan kawan kalau lapar sangat makan makanan yang halal.... lagi satu mak pesan usaha tu penting asas kejayaan .. Aku pula kata ya.. mengiakan kata emak sambil mengangguk-anggukan kepalaku. Kata orang... kalau nak cari jodoh tu , carilah yang cantik sedap mata memandang, nanti tak lah jemu Pendidikan pun kena tinggi kalau tak , nak makan apa? ...pasir...biar dapat kereta sebiji sebagai mas kahwin tak pun insuran....(macam iklan kat era tu...pasal insuran) Mak pula kata... jodoh pertemuan di tangan Tuhan , kalau nak cari , carilah yang beriman dan beramal dengan apa yang dia pelajari. Jangan pandang paras rupa sebabnya kecantikan akan hilang tak kekal lama , budi pekerti dan agama yang penting... kahwin bukan untuk sehari dua tapi untuk seumur hidup ... maka jangan tersalah buat pilihan lalu mak pun menyanyikan lagu.. "kepada mu tuhan , kusandar harapan, moga tak tersalah pilihan, seandai dirinya ,tercipta untukku rela ku menjadi miliknya" Aku pulak terkejut gila... fuyoo mak pandai nyanyi lagu ...tapi macam pernah dengar jer lagu nie. Mak kata... alah lagu yang selalu dapat no 1 dalam carta era tu tapi jatuh no 15 minggu nie. Yang dapat no 5 dalam carta nasyid radio IKIM tu... terang mak bila lihat aku tercengang lihat mak. Aku pulak kata... betul juga kata mak pasal jodoh tu dalam hati kagum dengan mak , mak modenlah katakan brutal in iman lagi. hehe... Kata orang.. "harimau mati tinggalkan belang ,manusia mati tinggalkan nama" Mak pula kata... manusia tak ada belang maka bila mati tak boleh tinggalkan belang macam Pak Belang tu.... mak kata lagi "hidup biar berjasa" biar orang tak kenal dan tak sanjung kita tapi pastikan dapat tempat di sisi Allah yang Esa. Mak kata lagi kalau buat sesuatu jangan nakkan balasan , jangan buat kerana nama , pangkat , atau darjat tapi biarlah ikhlas kerana Allah. Mak kata lagi kalau itu yang kita kejarkan.. pangkat , nama , darjat , sanjungan kita akan dapat tapi di akhirat tiada yang menanti. Lalu mak membacakan pesanan daripada Saidina Al-Khatab: "Jika kamu ingin mengikut petunjuk dari para iman, Maka kuatkan dirimu untuk menerima mushibah dgn hati yg lembut di waktu menghadapi kepahitan dan hati yg sabar terbentang di dada. Lisanmu perlu di kunci , matamu perlu dikendali. Rahsiamu di sembunyikan dan hanya dilihat oleh Allah sahaja. Namamu jangan terkenal , pintumu di tutup , mulutmu tersenyum, Perutmu lapar , hatimu luka, pangkatmu di pendam dan keaibanmu tersohor. Dan tiap-tiap hari menelan perasaan pahit dari pengaruh zaman dan teman, Sedangkan hatimu menurut, Siangmu sibuk mengislahkan(mendamaikan) orang tanpa membangkit bangkitkan, Ambillah kesempatan pada malam itu , jadikan ia persiapan untuk hari kiamat yang padanya sulit sekali mencari jalan. " Aku pula kata... terima kasih mak betul apa yang mak cakap tu... aku tersenyum riang. Terima kasih ibu , ratu hatiku , insan yang paling aku kasihi dalam dunia nie terima kasih atas nasihat mu.


~ Ilmu Itu Pembuka Segala Amal... ~