Assalamualaikum..w.b.t.
Kawan- kawan, kali ni Rasyadah nk kongsi satu perkara yang setiap individu muslim wajib tahu..iaitu mengenai kepimpinan. sama ada sedar mahu pun tidak kita merupakan pemimpin kepada diri kita sendiri. Setuju x? Contoh terbaik adalah Rasulullah s.a.w. Baca elok- elok ya..fahamkan dan aplikasi dlm hidup kita k..

SELAMAT MENCUBA =)

KEPIMPINAN DARI KACA MATA ISLAM
Ditulis oleh Ustaz Zamri
Saturday, 15 December 2007



Soal kepimpinan dalam sesebuah organisasi sering diperkatakan apabila ianya menampakkan kecacatan ataupun kemajuan bagi organisasi berkenaan. Ini membuktikan bahawa peranan pucuk pimpinan bagi sesebuah organisasi amat penting kerana jatuh bangun sesebuah organisasi melibatkan kredibiliti pemimpin dan perlakuan aktiviti dalam organisasi. Pemimpin yang bersifat adil adalah satu ciri penting yang sepatutnya ada bagi seseorang yang bergelar pemimpin. Ianya tidak terbatas kepada jenis kepimpinan kepada sebuah keluarga atau perkumpulan kecil atau sebuah organisasi. Malah apa sahaja yang dipimpin olehnya, keadilan akan sentiasa dipersoalkan.
Kedudukan kepimpinan adalah sangat penting dalam Islam. Para sahabat dan tabi’in telah ijmak bahawa amanah ini adalah tuntutan syarak selepas daripada kewafatan Rasulullah. Hal ini dapat diperhatikan semasa kewafatan Rasulullah s.a.w. Para sahabat telah berbaiah kepada Abu Bakar untuk menjadi khalifah dengan tidak membiarkan masyarakat terkontang-kanting tanpa pemimpin meskipun pada ketika itu jenazah baginda masih belum disemadikan.
Rasulullah pernah menegaskan :

“Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan maka hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua”. (al Hadith)

Inilah perintah baginda terhadap perlantikan ketua (pemimpin) walaupun dalam situasi yang kecil (bermusafir) dan maka apatah lagi dalam kumpulan yang besar atau organisasi yang khusus dan mempunyai tugas, sudah pasti keperluan terhadap pemimpin adalah terserlah.


CIRI-CIRI PEMIMPIN MUSLIM

1. BERIMAN DAN ADIL
Keimanan yang mantap akan menjelmakan peribadi yang luhur dan pastinya dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.
2. MENGENALI DAKWAH
Ciri ini sangat penting kerana pemimpin sebenarnya adalah seorang daie yang bertanggungjawab untuk menyeru ummat ke arah penghayatan Islam yang sebenar dan menyeluruh.

3. MENGENALI DIRI
Di antara kewajipan pemimpin ialah mengetahui segi-segi kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya. Pemimpin yang tidak tahu potensi-potensi dan keupayaan tidak akan dapat menjadi pemimpin yang berjaya.
4. PRIHATIN KEPADA ORANG BAWAHAN
Perhatian yang diberikan kepada pengikutnya adalah dengan mengenali mereka sekadar yang perlu, mengambil tahu hal ehwal mereka, ikut serta bersama-sama merasai riang dan duka dan bersungguh-sungguh mencari penyelesaian bagi masalah mereka. Semua ini dapat membantu pemimpin itu untuk mengawal serta membina thiqah orang bawahan terhadap dirinya seterusnya dapat mengambil faedah daripada suasana tersebut.
5. QUDWAH YANG BAIK
Para pengikut sentiasa memerhatikan dan memandang kepada pemimpin sebagai model yang baik untuk diikuti dan dicontohi. Telatah pimpinan, budi pekerti, kata-kata dan segala perbuatannya mempunyai pengaruh yang sangat berkesan kepada setiap pengikutnya. Rasulullah adalah merupakan satu teladan yang amat baik bagi seluruh umat manusia. Firman Allah yang bermaksud :
“ Sesungguhnya pada diri Rasulullah satu contoh ikutan yang baik”
6. PEKA DAN MENYELURUH
Kemampuan pemimpin dalam melakukan penyiasatan yang cepat dan tepat bagi mana-mana masalah serta kemampuan mengambil keputusan yang tegas dalam pelbagai situasi dan keadaan, semuanya akan menimbulkan kepercayaan dan penghargaan orang bawahan terhadap dirinya. Sebaliknya sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas daripada pemimpin semuanya boleh mencetuskan keadaan kucar- kacir dan menyebabkan menurunnya kepercayaan orang bawahan dan menyebabkan hilangnya pengawalannya terhadap mereka.


Kita bakal memegang pucuk pimpinan. Sediakanlah diri kita untuknya. Ingat, ALLAH x kn mengubah sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah dari dalam diri mereka sendiri kn.. jd bertindaklah sebelum terlewat, nanti rugi! =) Wassalam..w.b.t.

KASIH KEKASIH

Dari kejauhan gumpalan debu padang pasir membumbung ke langit. Debu-debu yang berterbangan itu dapat terlihat dari kejauhan bertanda ada satu rombongan kafilah akan datang mendekati kota Mekkah. Rasulullah s.a.w. melihat gumpalan debu dari kejauhan itu segera pulang ke rumah. Beliau s.a.w. langsung menyiapkan perbekalan dan membungkusnya. Setelah itu Rasulullah s.a.w. menunggu di pintu gerbang kota Mekkah. Kafilah itu rupanya tidak memasuki kota Mekkah mereka hendak menuju tempat lain. Rasulullah s.a.w. mendekati kafilah itu dan mencari pimpinan rombongan kafilah tersebut. Setelah berjumpa dengan pemimpin kafilah itu Rasulullah s.a.w. meminta izin untuk dapat ikut serta di dalam rombongan tersebut. Beliau s.a.w. telah diizinkan. Rasulullah s.a.w. mulailah berda'wah kepada mereka, kepada setiap orang dalam rombongan itu Rasulullah s.a.w. telah sampaikan kebesaran Allah SWT dan mengajak mereka untuk menerima Islam. Setelah semua orang mendapat penjelasan dari Rasulullah s.a.w., Beliau s.a.w. pun meminta izin kepada pimpinan rombongan untuk pulang kembali ke Mekkah. Rasulullah s.a.w. kembali ke kota Mekkah dengan berjalan kaki sedangkan kafilah tersebut telah melalui kota Mekkah sejauh satu hari satu malam perjalanan. Rasulullah s.a.w. hanya inginkan setiap orang memiliki kalimah Laalilaahaillallaah dan selamat dari adzab yang pedih kelak di akhirat. Begitu sekali sayangnya Rasulullah s.a.w. kepada umat- umatnya. Sedangkan kita terlalu sedikit untuk mengingati KEKASIH ALLAH ini. Ayuh renungkan bersama dan segera bertindak!!

~ berselawatlah ~

ANAK KECIL YANG TAKUT API NERAKA

Dalam sebuah riwayat menyatakan bahwa ada seorang lelaki tua sedang berjalan-jalan di tepi sungai, sedang dia berjalan-jalan dia terpandang seorang anak kecil sedang mengambil wudhu' sambil menangis.
Apabila orang tua itu melihat anak kecil tadi menangis, dia pun berkata, "Wahai anak kecil kenapa kamu menangis?"
Maka berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik saya telah membaca ayat al-Qur'an sehingga sampai kepada ayat yang berbunyi, "Yaa ayyuhal ladziina aamanuu quu anfusakum" yang bermaksud, " Wahai orang-orang yang beriman, jagalah olehmu sekalian akan dirimu." Saya menangis sebab saya takut akan dimasukkan ke dalam api neraka."

Berkata orang tua itu, "Wahai anak, janganlah kamu takut, sesungguhnya kamu terpelihara dan kamu tidak akan dimasukkan ke dlm api neraka."
Berkata anak kecil itu, "Wahai pakcik, pakcik adalah orang yang berakal, tidakkah pakcik lihat kalau orang menyalakan api maka yang pertama sekali yang mereka akan letakkan ialah ranting-ranting kayu yang kecil dahulu kemudian baru mereka letakkan yang besar. Jadi tentulah saya yang kecil ini akan dibakar dahulu sebelum dibakar orang dewasa."

Berkata orang tua itu, sambil menangis, "Sesungguh anak kecil ini lebih takut kepada neraka daripada orang yang dewasa maka bagaimanakah keadaan kami nanti?"

Anjing- anjing NERAKA

Sabda Rasulullah S.A.W kepada Mu'adz, "Wahai Mu'adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan:

· Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin.
· Bacalah Al-Qur'an
· tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain.
· Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.
· Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.
· Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.
· Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik.
· Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.
· Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.
· Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.

Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain."

Sabda Rasulullah S.A.W., "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."


Kata Mu'adz, " Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?"


Sabda Rasulullah S.A.W., "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah S.W.T."

.::MALAM PERTAMA DI ALAM BARZAKH::.

Pernahkah engkau melihat kuburan?
Pernahkah engkau melihat gelapnya kuburan?
Pernahkah engkau melihat sempit dan dalamnya liang lahat?
Pernahkah engkau membayangkan kengerian dan kedahsyatan alam kubur?
Sedarkah engkau bahawa kuburan itu dipersiapkan untukmu dan untuk orang-orang selain darimu?

Bukankah telah silih berganti engkau melihat teman-teman, orang-orang tercinta dan keluarga terdekatmu diusung dari dunia fana ini ke kuburan?

Apakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?

Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama’ serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza.

“Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?”

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita, lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah.

Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!



THE LAST BREATH


Di dalam usahanya mempersiapkan diri menghadapi malam pertama tersebut, adalah diceritakan bahawa Rabi’ bin Khutsaim menggali liang kubur di rumahnya. Bila ia mendapati hatinya keras, maka ia masuk ke liang kubur tersebut. Ia menganggap dirinya telah mati, lalu menyesal dan ingin kembali ke dunia, seraya membaca ayat:

“Ya Rabbku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu).” (Surah Al-Mu’minun, ayat 99-100)

Kemudian ia menjawab sendiri; “Kini engkau telah dikembalikan ke dunia wahai Rabi’..” Dan disebabkan hal tersebut, Rabi’ bin Khutsaim didapati pada hari-hari sesudahnya sentiasa dalam keadaan beribadah dan bertaqwa kepada Allah!

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti?

Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya. “Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!”