~ Hiasi diri ~



Indahnya akhlak Kekasihku, bila Allah yang mentarbiyyah Baginda, bila Al-Quran menjadi acuannya..

Di antara ciri-ciri akhlak yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya dia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlak-akhlak yang berikut:


Pertamanya seorang muslim perlulah warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat, dengan kata lainnya, menjauhkan diri dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan ajaran dari hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa yang memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram, seperti seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkannya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim)

Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara' adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis baginda: Yang bermaksud:

Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk di dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah dia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan.
(Hadith riwayat Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Hakim
dan Tirmizi berkata: Hadith ini Hassan)


Kemudian, memelihara penglihatan.


Seseorang muslim itu mestilah memelihara dirinya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan merupakan faktor yang membawanya ke kancah pelanggaran dan maksiat. Berhubung dengan perkara-perkara ini Al-Quran mengingatkan orang-
orang mukmin supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah. Allah s.w.t berfirman,

Yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).
(An-Nur : 30)

Rasulullah s.a.w pula bersabda:


Yang bermaksud: Pandangan itu ada satu penahanan dari penahanan iblis.

(Hadith riwayat Al-Hakim dan At-Tabrani)

Baginda juga mengingatkan:


Yang bermaksud:

Kamu hendaklah memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu maka Allah akan memburukkan muka kamu.
(Hadis riwayat Tabrani)


ketiganya, Memelihara Lidah:

Seseorang muslim mestilah memelihara lidahnya dari menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah, perbuatan-perbuatan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat keji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahullah mengatakan:

Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang. Sebenarnya banyak dari hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas yang empunya diri,
Sabda baginda yang bermaksud:

Tidaklah dihumbankan muka manusia ke dalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya.
(Hadis Riwayat Tirmizi)


Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda:


Yang bermaksud:

Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji.
(Hadis riwayat Tirmizi)


Sabda Baginda lagi yang bermaksud:


Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)


Keempat usaha tiru sifat Pemalu Rasulullah:


Seseorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya dari memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup serta memadai sekadar yang ada serta sifat-sifat seumpamanya.

Diceritakan daripada Rasulullah s.a.w bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman.
(Hadis riwayat Baihaqi)

Berhubung dengan sifat malu ini para ulama mengatakan: Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.

Kelima adalah dengan bersifat lemah-lembut dan sabar.


Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah sifat sabar dan lemah-lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan dakwah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyeksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Semua halangan-halangan ini sering dihadapi oleh para petugas amal Islami, sehingga hemah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan dakwah.

Dari keterangan ini jelaslah tugas dan tanggungjawab seseorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabiatnya.


Da'ie akan menyampaikan dakwahnya kepada orang-orang jahil dan orang alim, orang yang berfikiran terbuka dan orang yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan orang yang keras kepala, orang yang tenang dan orang yang mudah tersinggung.
Oleh yang demikian dia wajib menyampaikan dakwah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemahlembut. Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis Nabi menganjurkan dan mengarahkan agar seseorang da'ie itu itu berakhlak dengan sifat sabar, lemah-lembut dan berhati-hati.

Keenam, Bersifat Benar dan Jujur.

Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan.

Seseorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti dia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu-daya syaitan.

Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa besih, mulia dan terhindar dari tipu-daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakitpenyakit yang laknat.
Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud: Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta".

(Muttafaqun Alaih)

Ketujuh, Bersifat Rendah Diri..Tawaduk.


Seseorang muslim mestilah bersifat tawaduk atau merendah diri khususnya terhadap saudara-saudaranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberikan layanan) sama ada yang miskin mahupun yang kaya. Rasulullah s.a.w sendiri memohon
perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri).

Baginda bersabda:


Yang bermaksud:

“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam
hatinya terdapat sebesar zarrah (sedikit) sifat takbut.”
(Hadis riwayat Muslim)

Di dalam Hadis Qudsi pula Allah berfirman:

Yang bermaksud:

Kemuliaan itu ialah pakaian-Ku dan membesarkan diri itu ialah selendang-Ku. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari kedua-duanya pasti Aku akan menyeksanya".
(Hadis Qudsi riwayat Muslim)


Seterusnya,

kelapan, jaga hati!

Jauhi sangka buruk dan mengumpat dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seseorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah, yang bermaksud:


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.


(Al-Hujuraat : 12)
Allah berfirman lagi, yang bermaksud:

Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.
(Al-Ahzaab : 58)

Dan Rasulullah s.a.w bersabda:


Yang bermaksud:

Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun dia berada di dalam rumahnya. (Hadis riwayat Abu Daud)


Tiru sifat pemurah Rasulullah..


Yang kesembilan..

Ialah seorang Muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, bercita-cita tinggi serta berpangkat gugur tercicir dari jalan ini, disebabkan oleh sikap rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Quran sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.
Antara maksudnya:

Dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
(Al-Anfaal : 3)

Allah berfirman yang bermaksud:

Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurang.
(Al-Baqarah : 272)

Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pengajaran dari pesanan Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dia Malaikat lalu salah satu darinya berdoa:

"Ya Allah! Berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya".

Manakala Malaikat yang kedua pula berdoa:

Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada si hamba yang bakhil ini".
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Usahakan untuk menjadi Qudwah Hasanah (Suri Teladan Yang Baik) Selain dari sifat-sifat yang dinyatakan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai.

Segala tingkah-lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya.

(Kitab-kitab yang membicarakan secara khusus mengenai tajuk ini yang dapat dijadikan sebagai renungan oleh para pembaca diantaranya ialah Kitab Riadhus Salihin karangan Imam Nawawi, Kitab Khuluqul Muslim (Akhlak Seorang Muslim) karangan Muhammad Al- Ghazali, Ihya' Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali dan Hayat As-Sahabah karangan Al-Kandahlawi).[1]

**Ayuh kita ikuti jejak Rasulullah,
suburkan cinta padaNya dengan mengamalkan sunnah Baginda Rasulullah s.a.w.



[1] Fathi Yakan: Maza Yakni Intimaei Lil Islam_Apa Ertinya Saya Menganut Islam