Ceritera Cinta
~ tak tipu punye ~

"La yu'minu ahadukum hatta yuhibba li akhihi ma yuhibbu li nafsihi"
"Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya."
Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini adalah antara hadis-hadis pendek tetapi banyak memberikan kesan kepada kehidupan manusia seluruhnya sekiranya ia dihayati sepenuhnya.
Cinta itu adalah kasih-sayang. Cinta itu merupakan elemen motivasi yang paling kuat dalam hidup manusia. Orang yang hidup tanpa wujudnya perasaan cinta di dalam dirinya kehidupannya adalah kosong dan sia-sia. Kalau kita ini pembaca komik-komik kungfu Cina, kita akan dapati seorang hero itu akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan kekasihnya dan orang-orang yang dicintainya. Dengan semangat cinta itu juga dia berjaya mencapai kedudukan tertinggi dalam ilmu persilatan yang dipelajarinya.
Kerana cinta jugalah, kita mendengar kata-kata, "Lautan api sanggup ku renangi demi untuk membuktikan cintaku padamu." atau kata-kata, "Ambillah kapak dan belahlah dadaku ini." Orang yang tidak bercinta tidak akan sanggup mengeluarkan kata-kata yang membunuh diri seperti ini.
Seseorang itu adalah menipu sekiranya mengatakan dirinya tidak memerlukancinta. Kerana cinta itu satu perasaan luhur anugerah Allah kepada semua hamba-hambanya. Orang yang bercinta merasakan hidupnya berwarna-warni dan sentiasa merasakan keseronokan kerana dilamun perasaan cinta.
Maka alangkah ruginya sekiranya dalam diri kita ini tiada langsung apa yang dinamakan perasaan cinta dan kasih sayang. Cintanya Nabi saw kepada umatnya tidak pernah padam. Hatta sehingga saat sakaratulmaut pun, Nabi saw masih mengingati umatnya. Nabi begitu kasihkan kita sebagai umatnya sehingga umat akhir zaman ini dimohon diberikan pelbagai nikmat dan rahmat.
Umat terdahulu seperti kaum Aad telah dimusnahkan akibat keengganan mereka tunduk kepada ajaran Nabi Hud a.s, kaum Sadum pula telah diterbalikkan bumi mereka kerana mereka engkar kepada ajaran Nabi Lut a.s, kaum Nabi Nuh pula telah ditenggelamkan semua mereka yang menolak ajaran baginda.
Namun, disebabkan doa Rasulullah, umat akhir zaman ini diberi peluang untuk bertaubat sehingga ke hari Akhirat, malah di dalam bulan Ramadhan, dikurniakan pula satu malam yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Umat akhir zaman ini masih belum dimusnahkan walaupun sudah seribu satu maksiat berleluasa di muka bumi ini.
Cinta para sahabat kepada Rasulullah tiada taranya. Kisah perang Uhud membuktikan tujuh sahabat Nabi termasuk seorang wanita, sanggup mengorbankan nyawanya dengan membentuk perisai bagi melindungi nyawa baginda.Cinta Saidina Abu Bakr kepada baginda pula, sanggup membiarkan ular mematuk tangannya ketika sama-sama bersembunyi di gua Thur. Cinta Saidina Umar terhadap baginda, hinggakan beliau tidak dapat menerima hakikat pada peringkat awalnya ketika wafatnya Nabi saw, cintanya Saidina Uthman kepada Nabi sehingga beliau sanggup membelanjakan keseluruhan kekayaannya demi perjuangan Islam. Cintanya Saidina Ali, beliau sanggup menggantikan tempat tidur Nabi saw dalam peristiwa hijrah walaupun itu adalah pilihan untuk mati.Muazzin Rasulullah, Bilal b Rabah terus jatuh sakit dan akhirnya menyusuli kewafatan Nabi saw apabila beliau diberitahu yang Nabi saw telah tiada lagi di muka bumi. Ini semua adalah sebahagian kisah cinta generasi sahabat kepada Nabi saw.
Cinta generasi sahabat sesama mereka pula, juga dinukilkan dalam peristiwa Hijrah. Tanyalah diri kita pada hari ini, siapakah di antara kita yang sanggup menceraikan salah satu dari isteri-isterinya untuk diberikan kepada sahabat yang dicintainya? Tanyalah kepada diri kita, siapakah yang sanggup membahagikan hartanya kepada 2 demi untuk sahabat yang dicintainya?
Sedangkan cinta golongan Muhajirin dan Ansar itu, golongan Ansar sanggup menceraikan satu isteri-isteri mereka untuk menjadi pasangan saudaranya dari golongan Muhajirin. Golongan Ansar sanggup membahagi 2 harta kekayaan mereka demi cinta mereka kepada golongan Muhajirin.
Adakah cinta kita sudah menyamai cinta mereka? Berapa ramai di antara kita yang medermakan barang-barang yang paling disukai untuk diberikan kepadapelarian-pelarian perang yang seagama dengan kita? Adakah baju dan pakaian yang kita dermakan itu pakaian yang buruk dan lusuh ataupun masih cantik dan masih disukai oleh kita sendiri?
Berapa ramaikah yang sanggup memberikan derma sehingga kita sendiri tidak dapat makan untuk sehari? Sedangkan itulah yang dilakukan oleh Nabi dan para sahabat, mendermakan semua rezeki yang mereka dapat pada hari itu kepada golongan yang lebih memerlukan.
Cinta itu suci. Tetapi ia menjadi kotor bila kita sempitkan cinta itu hanya untuk cinta lelaki dan perempuan. Cinta lelaki dan perempuan itu suci sekiranya ianya telah disambung dengan ikatan pernikahan.
Sedangkan cinta itu luas. Cinta kita kepada Allah Yang Maha Pencipta, cinta kepada Rasul, cinta kita kepada ibu bapa dan cinta kita kepada saudara-saudara Islam yang lainnya. Umat Islam hari ini telah kehilangan cinta dan kuasa cinta. Umat Islam hari ini hanya mengenal cinta yang dicorakkan oleh musuh-musuh Islam iaitu cinta asyik masyuk, iaitu cinta Valentine itulah. Cinta yang dibaluti oleh nafsu yang melesukan.
Umat Islam yang cintakan saudaranya tidak akan membenarkan negerinya menempatkan pengkalan-pengkalan tentera untuk menyerang saudaranya.Umat Islam yang cintakan saudaranya tidak akan menggunakan undang-undang yang zalim untuk menindas saudaranya itu.Umat Islam yang cintakan saudaranya akan bangkit menyahut seruan jihad bila saatnya telah tiba.Tidak menyahut seruan jihad bererti kita tidak cinta kepada Islam. Menghalang seruan jihad menunjukkan kita sudah hilang perasaan cinta itu dalam diri kita. Takut-takut untuk menyokong gerakan jihad menunjukkan kita masih lemah imannya.Ini semua menunjukkan cinta kita adalah cinta kepada dunia dan takut kepada maut. Tidak pernah memohon untuk mati syahid, bererti kita lebih mencintai neraka dari syurga.
Love is a verb. Maka buktikanlah cinta kita melalui perbuatan. Islam tidak akan tertegak sekiranya perbuatan kita masih tidak berlandaskan syariat.Islam akan terus tertindas sekiranya kita masih belum memboikot barangan pemodal kapitalis-kapitalis Yahudi.Islam akan terus dizalimi, sekiranya kita masih belum mahu bergerak dalam gerakan Islam, menyokong dan mengundi parti-parti Islam.Islam akan terus diperintah, sekiranya ayat-ayat Quran itu hanya tercetak cantik di mushaf-mushaf dan tersusun di rak-rak.Islam akan makin dipersenda, sekiranya kita masih menyakini kata-kata intelektual kuffar berbanding nasihat para ulama' pewaris nabi.Islam akan terus berpecah, sekiranya kita masih diselebungi semangat kebangsaan tidak bertempat yang akhirnya menutup usaha membina khilafah yang satu. Maka didiklah diri kita ini untuk mencintai Islam sepenuh hati kerana hati yang cinta kepada Islam sahaja yang akan terus hidup dan bersemangat untuk memastikan ketuanan Islam akan ditegakkan kembali.

0 comments: