Hujah Anti Hadis & Jawapan

Hujah Pertama:

Al-Qur’an adalah lengkap, terperinci lagi sempurna, maka kenapakah perlu dirujuk kepada hadis-hadis Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ? Bukankah Allah Subhanahu waTa’ala telah berfirman di dalam al-Qur’an:

Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran) ini.
[al-An’aam 6 :38]
(Katakanlah) : Patutkah aku hendak mencari hakim selain dari Allah,
padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas
nyata kandungannya satu persatu ? [al-An’aam 6 :114]
Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab
(Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan
pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah
petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman. [al-‘Araaf 7
:52]
Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya
dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya SATU-PERSATU.
(Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana,
lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. [Hud 11:01]

Jawapan:
Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala apabila
Dia menyatakan kesempurnaan, kelengkapan dan perincian kitab suci-Nya
al-Qur’anul Karim, adalah merujuk kepada peranan yang dimiliki oleh
al-Qur’an sebagai “kitab induk” yang telah mengusulkan pelbagai kaedah
dan cara bagi umat manusia menerima dan mempraktikkan risalah Allah
dalam kehidupan harian mereka sehingga ke Hari Akhirat.[1] Al-Qur’an
adalah lengkap dan sempurna dalam konteks ia meletakkan asas-asas
mentauhidkan Allah dan kaedah-kaedah menjanakan syari’at-Nya. Demikian
juga, apabila dikatakan bahawa kitab al-Qur’an tidak meninggalkan atau
terlupa apa-apa, ia bererti bahawa al-Qur’an tidak leka atau lengah dari
menggariskan pelbagai kaedah serta prinsip penukilan hukum dan ajaran
yang diperlukan umat untuk melaksanakan syari’at Allah yang indah ini
dalam semua suasana dan keadaan.
Dalam suasana kelengkapan dan keterperincian inilah al-Qur’an meletakkan
dasar serta prinsip yang jitu bahawa hadis serta sunnah Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam wajib dijadikan salah satu dari sumber
syari’at yang ditaati, dirujuki dan dipegangi. Apabila hadis dan sunnah
Rasulullah disisihkan, maka ia bererti menyisih sebahagian dari dasar
dan prinsip penting yang digariskan oleh al-Qur’an; dan apabila hadis
dan sunnah Rasulullah ditentang, ia bererti menentang sebahagian dari
ajaran al-Qur’an itu sendiri.[2]
Adalah merupakan tindakan yang amat jahil apabila seseorang itu memahami
ayat-ayat di atas secara zahir (face value) sehingga mereka berkata
segala apa yang berkaitan dengan agama dan kehidupan di dunia ini telah
diperincikan satu-persatu di dalam al-Qur’an. Jika inilah kefahaman
mereka, maka penulis bertanya – jika pagi tadi kita bersarapan Mee
Goreng dan ingin mengetahui hukumnya, bolehkah kita mencarinya di dalam
al-Qur’an ? Pastinya kita tidak akan menemui keterangan tentang Mee
Goreng. Maka apakah dengan itu Mee Goreng tersebut menjadi sesuatu yang
halal, atau haram, atau sesuatu yang dilupai oleh al-Qur’an ?
Sebaliknya jika difahami ayat-ayat di atas sebagai yang menerangkan
peranan al-Qur’an dalam meletakkan dasar serta prinsip syari’at dan
kehidupan, pasti kita akan ketahui bahawa Mee Goreng tersebut adalah
halal dan baik untuk dimakan, kerana al-Qur’an sedia menggariskan
beberapa prinsip asas pemakanan, antaranya semua yang ada di mukabumi
ini adalah halal untuk dimakan (Yunus 10:59) asalkan disembelih atas
nama Allah (al-An’aam 6:121) atau dari sembelihan Ahli Kitab (al-Maidah
5:05) dan ia bukan bangkai atau daging khinzir (al-Maidah 5:03); dan
bahawa umat Islam sangat dianjur makan (al-An’aam 6:142) asalkan mereka
tidak berlebih-lebihan (al-A’raaf 7:31).[3] Inilah maksud dan cara
sebenar mengguna-pakai ayat-ayat di atas yang menjadi asas perbincangan.

0 comments: